CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, July 28, 2011

Ramadhan Bulan Penyucian Jiwa

Ramadan al-Mubarak bulan tarbiah dan juga tazkiyatun nafsi buat manusia agar kembali kepada fitrah yang suci. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Maka kembalilah mereka ibarat bayi yang baru lahir suci daripada segala dosa.
Kita digalakkan memperbanyakkan amal ibadah dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T serta banyakkan muhasabah diri. Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W bermaksud; "Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua Syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.
Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah! Dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! Dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api Neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Dikatakan Ramadhan ini bulan penyucian jiwa kerana pada bulan ini setiap umat manusia beragama Islam akan sebolehnya mengubah tabiat dan perangai. Pada bulan ini setiap daripada kita sedaya upaya melakukan perubahan diri berbanding pada bulan-bulan sebelumnya.
Segala benda dan perbuatan ini hanya boleh dilakukan dengan adanya rasa keimanan dalam jiwa. Menurut penceramah bebas, Ustaz Hazlin Baharin, Ramadan itu dikatakan sebagai bulan penyucian jiwa kerana ia dapat membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada sebarang kerosakan dan gangguan syaitan.
Tetapkan Taqwa
Ramadhan juga merupakan masa terbaik untuk menyucikan jiwa kerana orang yang berpuasa perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau sekurang-kurangnya yang boleh mencacatkan puasa. Justeru, segala tabiat buruk sebelum ini perlu ditinggalkan.
Apabila cabaran utama yang hadir dalam diri ini mampu diatasi oleh manusia itu bermakna mereka telah berjaya melawan godaan nafsu Syaitan yang mahu merosakkan jiwa mereka. Maka sebahagian daripada penyucian jiwa telah berjaya dilepasi. Tambah Ustaz Hazlin lagi, sekiranya halangan ini mampu dilepasi, maka mereka telah tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar dan secara langsungnya ini telah dapat menyucikan hati daripada melakukan perbuatan maksiat.

Tuesday, July 26, 2011

Lapan Punca Rumahtangga Bergolak

Sangat menyedihkan apabila dalam sesebuah perkahwinan, pasangan suami isteri gagal untuk mempertahankan hubungan perkahwinan mereka. Apabila perkara seperti ini berlaku dalam hubungan rumahtangga dan tidak diselesaikan secara berhikmah, ia tidak mustahil mengakibatkan penceraian.
Oleh itu, untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih parah, pasangan terbabit perlulah mengenalpasti apakah punca yang menyebabkan masalah-masalah timbul dalam hubungan mereka. Apabila punca pertelingkahan atau ketidaksefahaman dikenalpasti, pasangan tersebut akan lebih mudah untuk mengatasi masalah yang timbul.
(1) Kritikan yang melampau - Pada kebiasaannya, pasangan yang telah menjalinkan hubungan agak lama tidak terlalu peka tentang masalah ini. Mereka lebih memikirkan kepuasan hati apabila mengkritik berbanding memikirkan sensitiviti pasangan.
Tanpa mereka sedari, ia sebenarnya telah menimbulkan masalah dalam hubungan dan sekiranya ia dibiarkan berterusan, mungkin akan membuatkan orang yang sentiasa dikritik merasakan perpisahan adalah jalan terbaik.
Kritikan yang melampau bukanlah satu cara yang membina sebaliknya ia boleh menjatuhkan semangat seseorang.
(2) Penipuan - Jangan sesekali memulakan penipuan dalam hubungan walaupun ia suatu perkara yang kecil kerana ia akan memberi kesan dalam hubungan untuk jangka masa panjang.
Masalah ini perlu dipandang serius untuk mengelakkan pasangan terasa seperti dianiaya. Dikhuatiri penipuan yang telah dilakukan akan mempengaruhi pasangan yang ditipu untuk turut menipu. Adalah lebih teruk sekiranya masalah ini akan terus berlanjutan dan berbalas-balas di antara satu sama lain.
(3) Intipan - Walaupun niat anda mungkin baik untuk mengetahui setiap pergerakkan atau aktiviti pasangan anda, tetapi ia sebenarnya akan membawa masalah besar dalam perhubungan sekiranya tindakan "intipan" diketahui pasangan anda.
Oleh itu, binalah kepercayaan dan elakkan keraguan terhadap diri pasangan anda. Sekiranya tanda-tanda kecurangan dapat dikesan atau was-was, barulah anda cuba melakukan intipan. Apa yang paling penting ialah jangan sesekali bersangka buruk terhadap pasangan.
(4) Cemburu yang melampau - Cemburu sememangnya amat penting dalam hubungan. Ia adalah sebagai tanda anda benar-benar menyayangi pasangan anda. Malangnya, perasaan cemburu yang tidak terkawal akan menjadi punca masalah dalam hubungan. Perasaan cemburu itu haruslah dikawal agar bersesuaian dengan situasi, tempat, keadaan atau sebagainya.
(5) Membandingkan hubungan masa lampau - Pasangan tidak seharusnya melakukan perkara seperti ini dalam hubungan. Jangan membandingkan hubungan sekarang dengan hubungan masa lampau. Ini akan mewujudkan pelbagai pemikiran negatif terhadap pasangan. Masalah ini perlu diberi perhatian untuk mengelakkan timbulnya masalah yang lebih besar pada masa akan datang.
(6) Masalah komunikasi - Ia adalah merupakan masalah yang kritikal kerana ia melibatkan persefahaman dan penilaian terhadap pasangan masing-masing. Ini kerana semua masalah dalam hubungan seperti perasaan cemburu, krtitikan, penipuan atau sebagainya dapat diatasi sekiranya pasangan mampu berkomunikasi dengan baik. Komunikasi yang baik juga dapat membantu kedua-dua pihak untuk meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.
(7) Mengambil ringan - Apabila sesuatu hubungan telah melalui satu jangka masa yang panjang, kebiasaannya pasangan akan mengambil ringan atau kurang memberi respon (tidak peduli) terhadap pasangan masing-masing. Masalah ini perlulah dielakkan. Bahkan, kedua-dua pasangan seharusnya berusaha untuk menyemarakkan lagi perasaan serta menguatkan ikatan cinta yang terjalin sekian lama agar terus berkekalan.
(8) Aktiviti harian - Setiap orang pasti mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilakukan, tetapi, jangan sesekali mengabaikan pasangan kerana ia juga merupakan salah satu dari tanggungjawab anda. Walaupun anda sibuk dengan aktiviti harian, carilah masa yang sesuai untuk diluangkan bersama pasangan anda. Masalah dalam hubungan pasti berjaya dielakkan sekiranya anda bijak untuk membahagikan masa.

Friday, July 22, 2011

'Dosa Gugur Apabila Suami Dan Isteri Bersalaman'

RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya."

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan.
Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.


Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf,walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.
Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua.
Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.
Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami.

Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung- burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."
Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.

Thursday, July 14, 2011

'rindunya...'


Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.
Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, "Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari' berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, "Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik". Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, "Alangkah baiknya bid'ah ini"... (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan adalah bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan Allah swt pada bulan tersebut. Jibril menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran Nabi saw dijuga dibulan ini. Oleh itu kita jadikanlah bulan ini bulan yang lebih meriah bagi kita bersama Al-Quran, dengan membacanya dan melaksanakan ajaran-ajaran yang terkandung didalamnya. Ramadan adalah bulan bersedeqah, berkasih sayang sesama umat Islam dan makhluk Allah swt. Kita perbanyakkanlah bersedekah dan menjamu orang lain. Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, "Adalah Nabi saw orang yang paling pemurah dengan kebaikan. Dia saw. lebih pemurah lagi di dalam bulan Ramadan apabila didatangi oleh malaikat  Jibril. adalah Jibril bertemu Nabi saw tiap malam di bulan Ramadan sehingga pagi dan mengemukakan Al-Quran kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw bertemu Jibril, Baginda saw menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr. tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam tiap urusan. Sejahtera malam tersebut hingga terbit fajar" (Al-Quran).
Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud,"Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan".
Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt. Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud,"Sesungguhnya Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya, isteri-isterinya pula beriktikaf" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).
Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan tentara Monggul.
Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu.
Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa..."(Surah Al-Baqarah). Ameen

Thursday, July 7, 2011

'Bila nak kawin?'

Pernah tak dalam hidup kalian , berfikir tentang 'Cinta'? Rasanya seperti mustahil jika ada antara kalian terutama mereka yang sedang berada dalam zaman keremajaan menjawab 'Tidak Pernah' berfikir tentang soal kahwin ini.
Lebih-lebih lagi kita sekarang ini berada di dalam dunia yang penuh dengan arus kemodenan dan selalu disogokkan dengan adegan-adegan yang mendorong kita untuk turut menceburkan diri dalam arus percintaan, kisah-kisah cinta yang dikatakan sejati dan kekal abadi ini bukan sahaja dipaparkan di dalam televisyen semata mata malah turut dihidangkan di dalam media cetak yang menerbitkan berpuluh-puluh karya ber 'genre' percintaan setiap bulan.
Lalu tidak hairanlah sekiranya anak-anak remaja masa kini lebih menyayangi kekasih masing-masing berbanding keluarga. Maka kedengaranlah berita-berita yang menyedihkan membabitkan anak gadis lari bersama kekasih ke Lombok, ke negeri lain dan sebagainya. Astagfirullahalazim..
Saya bukan sesiapa, saya seorang gadis biasa, yang cuba untuk berjalan di bumi Allah dalam langkah yang padu agar dapat menuju kasih-Nya yang abadi. Saya sama seperti kebanyakan anda semua yang masih belajar dan belajar nilai kehidupan dan cuba belajar untuk menjadi matang. Mungkin ramai antara saudara dan saudari yang sama macam saya, masih menunggu dan khuatir tentang cinta dan jodoh. Dengan siapa aku akan berkahwin? Ada ke lelaki yang benar-benar mencintai aku? Kalau tak jumpa jodoh lepas umur 30 tahun macam mana? Risaunya...
Mungkin itu adalah antara contoh soalan yang kerap berlegar-legar di dalam minda anda yang masih belum jelas tentang jodoh. Bagi yang sudah berumah tangga, alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T yang telah menemukan cinta dan kasih sayang kepada kalian. Semoga rumah tangga anda semua dilimpahi rahmat dan kasih-Nya. Selain itu mungkin ada juga antara gadis-gadis diluar sana yang kerap bertanya sendiri sebegini:
Gadis 'Pemalu' A: Macam mana ye? Ada ker orang yang akan suka kat aku? Ramai yang datang sebelum ni. Tapi aku dah tolak, sekarang aku dah takda siapapun.
Gadis Pasrah B: Ayah aku dah sibuk bertanya, dah ada calon ke belum? Haih.. macam mana aku nak jawab ni? Hm, terima sahajalah sesiapa pun.
Gadis Teringin C: 'Jealous'lah tengok orang yang ber couple. Balik ada orang hantar, buat 'assignmen't pon sama-sama. Tapi aku?
Gadis Rela D: Aku tak kisahlah boyfriend yang macam mana pun. Yang penting ada orang sayang aku. Aku terima jer dia macam mana sekali pun.
Gadis Terlebih concern E: Aku tak nak makanlah. Nak diet.. mungkin sebab aku gemuklah tak ada orang yang suka kat aku.
Malah ada juga yang mungkin berfikiran:
"Aku tak nak kahwinlah.. mak cik aku okey jer tak kahwin." Nauzubillah...
Apa pendapat anda semua? Saya pasti ada antara kita pernah berfikiran begini. Malah mungkin ramai yang terfikir tentang hal ini walaupun masih di tahun satu atau tahun kedua di IPTA atau IPTS.
Malang nya kita jika menganggap jodoh dan cinta itu hanya urusan antara kita dan hati kita sahaja. Kita mudah terlupa dalam hati itu masih ada pemilik hati yang Maha Hebat ialah Allah SWT dan kita juga terlupa dalam cinta itu masih ada pemilik cinta yang Maha Agung iaitu Allah SWT.
Oleh itu sentiasalah berdoa kepada Allah tanpa jemu dan putus asa. Jika anda rasa sangat sukar untuk menemui jodoh yang anda inginkan mintalah kepada Allah kerana seorang hamba Allah tidak akan mudah berputus asa kecuali orang-orang yang tidak beriman. Berusaha dalam mencari jodoh tidak bermakna menulis surat-surat cinta palsu atau bergaul bebas antara lelaki dan perempuan . Seandainya sebelum ini kita pernah melakukan dosa dengan berdua-duaan dengan pasangan kita, pastikah kita, bahawa kita akan hidup sampai ke tua dan mampu bertaubat dan menginsafi segala dosa-dosa kita dengan pasangan yang tidak halal bagi kita?
Pembaca-pembaca sekelian, soal hati dan jodoh bukanlah benda yang senang. Bukan hak kita menentukan siapa jodoh kita sehingga rela mengambil jalan singkat menerima kehadiran mana-mana sahaja kaum adam atau kaum hawa tanpa menilai agama dan budi pekerti terlebih dahulu. Jangan biarkan sehingga nasi menjadi bubur. Lihatlah, berapa ramai yang berkahwin semata-mata kerana nafsu dan akhirnya tersungkur sebelum sampai kepintu syurga? Inginkah kita menjadi pasangan yang bercerai berai dan bergaduhan selepas beberapa lama berkahwin? Yakinlah, kebahagian dan ketenangan dalam kehidupan ialah apabila mengingati Allah dan mendapat keredhaannya.
Ketahuilah dan yakinlah bahawa perempuan yang baik akan bersama dengan lelaki yang juga baik begitu juga sebaliknya.
Terdapat empat perkara yang memberikan kebahagian kepada manusia berdasarkan hadis sahih riwayat Ibnu Hibban-:
1.      Isteri yang solehah
2.      Rumah yang selesa
3.      Kenderaan yang baik
4.      Jiran tetangga yang baik.
Jika dilihat, salah satu kebahagian manusia ialah Isteri yang solehah. Fikirkanlah betapa beruntungnya wanita-wanita diluar sana kerana telah dilahirkan sebagai wanita dan menjadi salah satu punca kebahagian manusia.
Akhir kata, selamat bermujahadah dalam kehidupan..insyaAllah  jodoh pasti tiba di muka pintu dengan bantuan Allah. Jagalah dirimu laksana hadiah.. masih dilitupi pembalut akhlak dan iman, bukan laksana bunga yang layu menyembah bumi. Wallahualam.

Monday, July 4, 2011

Beruntungnya jadi Isteri ^_^

Mulianya seorang isteri disisi Allah…
Dan betapa berharganya wanita yang bergelar isteri ini pada keluarga, suami dan anak-anak Rugi dan binasalah suami-suami yang tidak menghargai isteri mereka kerana isteri inilah yang akan membantu mereka di akhirat kelak.
Biarlah buruk mana isteri anda, sayangilah mereka…..
Beruntungnya seorang wanita yg ada rahim ini ialah dia bekerja dengan Tuhan… sebagai pengeluar ‘ manusia.Tiap-tiap bulan diberi cuti bergaji penuh… 7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang tetapi Allah anggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya. Cuti bersalin juga sehingga 60 hari. Cuti ini bukan cuti suka hati tapi cuti yang Allah beri sebab dia bekerja dengan Allah.
Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang.. .sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis nyawanya.
Satu lagi berita gembira untuk wanita, Sepanjang dia mengandung Allah sentiasa mengampunkan dosanya, Lahir saja bayi seluruh dosanya habis. Inilah nikmat Tuhan beri kepada wanita, jadi kenapa perlu takut nak melahirkan anak?
Marilah kita pegang kepada tali Allah. Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin, itu dianggap mati syahid, Allah izinkan terus masuk Syurga. Untuk orang kafir dia tak dapat masuk Syurga tapi Allah beri kelonggaran siksa kubur.
Untuk peringatan semua wanita yang bersuami seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung.
Diakhirat nanti seorang wanita solehah akan terperanjat dengan pahala extra yang banyak dia terima diatas segala kebaikan suaminya yang tak disedari. Contohnya bila dia redho suaminya pergi berjemaah di masjid atau ke majlis ilmu, bersedekah.. ganjaran Allah keatasnya jua..
Bila dia lihat suaminya tengah terhegeh-hegeh di titian Sirat dia tak nak masuk syuga tanpa suaminya, jadi dia pun memberi pahalanya kepada suami untuk lepas masuk syurga. Di dunia lagi, kalau suami dalam kesusahan isteri boleh bantu tambah lagi di akhirat. Kalau seorang isteri asyik merungut, mulut selalu muncung terhadap suami dia tak akan dapat pahala extra ini.
Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat didalam dan diluar rumah, segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik dia akan tanggung ditambah lagi dengan dosa-dosa yang lain..
Dinasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat Allah agar tidak derhaka denganNya.
Sesungguhnya wanita dijadikan daripada rusuk kiri lelaki. Dia bukan dicipta dari kepala ke kaki, juga bukan dari tapak kaki. Dia dicipta dari sebelah rusuk kiri lelaki supaya dia hampir kepada kamu(lelaki), lengan lelaki dicipta untuk mempertahankan wanita,dekat dengan hati lelaki untuk disayangi

''Mengapa Perlu Jadi Menarik??''

Daya tarikan sememangnya ada dalam diri setiap individu. Kerana itu Allah dengan sifatNya yang maha adil dan pemurah telah menetapkan kehebatan yang berbeza bagi kita semua. Tambahan itu, ayat popular daripada ayat ke-4 Surah at-Tin yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami menjadikan manusia itu dengan sebaik kejadian.” Akan tetapi, dalam kesibukan kita dalam menangani isu di sekolah/university/kolej/pejabat, antara keluarga serta masyarakat, kita kadangkala terlupa yang kita ini mempunya daya tarikan yang unik.
Apakah kepentingan daya tarikan ini? Ada lebih ribuan jawapan kepada persoalan ini. 

 alala..tomei nye budak bucuk nie...

Ada yang mahu jadi menarik kerana beranggapan yang diri mereka tidak menarik daripada segi rupa dan perawakan. Mereka mahu memperkukuhkan daya tarikan pada diri kerana mahukan kawan dan penghormatan. Mereka mahu disanjungi oleh rakan-rakan dan masyarakat setempat dengan menempah nama melalui pelbagai aspek yang boleh menarik perhatian. Tidak kurang juga yang mahu menggunakan daya tarikan tersendiri untuk memenangi hati gadis atau jejaka idaman. Seterusnya daya tarikan seperti karisma juga amat penting dalam kenaikan pangkat di tempat kerja dan sebagai ahli politik, daya tarikan adalah antara senjata utama dalam memenangi hati pengundi. Bagi usahawan pula, mereka adalah wajah kepada perniagaan mereka. Seraya itu, usahawan yang menarik lebih mudah untuk membina jaringan atau network dengan pengedar, pengusaha lain yang boleh melakukan kerjasama, serta yang paling utama, para pelanggan. Pasangan suami isteri juga perlu sentiasa peka terhadap keterampilan serta daya tarikan diri kerana dari segi psikologi, perempuan suka akan kecantikan pada diri sendiri manakala lelaki pula gemar melihat perempuan yang cantik (ini memang tidak dinafikan).

Berbalik kepada soalan kita tadi. Mengapa Perlu Jadi Menarik? Berdasarkan perbincangan di atas, berikut merupakan antara manfaat-manfaat seseorang individu akan dapat dengan menyerlahkan daya tarikan yang sedia ada pada dirinya: -
1.      Keyakinan diri
2.      Kemantapan hubungan sosial
3.      Kunci kepada memenangi hati pasangan idaman.
4.      Kemantapan hubungan di pejabat
5.      Mengukuhkan pengikut atau “fan base”
6.      Memudahkan “networking” serta mengukuhkan “supply-chain” bagi usahawan.
7.      Menambat hati pasangan.


Orang yang menarik ialah mereka yang yakin dengan kebolehan sendiri. Kebolehan dan keistemewaan ini amat luas definisinya. Ada yang menarik kerana rupanya yang kacak atau jelita serta susuk tubuh yang menawan. Tidak kurang juga yang menarik kerana bijak berjenaka dan peramah. Ada yang punya suara merdu serta memukau. Mereka yang berbakat dalam lakonan dan persembahan (showmanship) juga mempunyai ramai ikutan. Dalam erti kata lain, setiap seorang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Bagi mereka yang kurang mempunyai keyakinan kerana beranggapan mereka tidak menarik, apa yang mereka perlukan ialah motivasi untuk mencungkil bakat serta keistimewaan mereka yang mungkin terpendam disebabkan persepsi masyakarat yang pelbagai. Ada individu yang memang mudah menonjolkan daya tarikan tetapi ada juga yang perlu lebih usaha untuk mencapai perkara yang sama. Allah itu maha adil dan bijaksana di mana hamba-Nya diuji dengan cara yang berlainan.
 
Akhir kata, kita perlu ingat bahawasanya kita ini menarik. Jika kita belum mendapat apa yang kita diidamkan walau dengan daya tarikan yang sedia ada, ini bermakna Allah mahu menguji kita dan meningkatkan daya kreativiti kita dalam usaha mencapai kejayaan. Wallahualam.